Monday 30 January 2012


PENDAPAT/ PERBINCANGAN
Industri pelancongan membawa sumber pendapatan negara. Huraikan  usaha-usaha yang mampu dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan negara.
Usaha Menggalakkan Kemajuan Pelancongan Negara
    Tahun 2007 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan memandangkan industri pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita.. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan.
     Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah kemudahan pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong
     Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan kedatangan pelancong baru.
     Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk menjelaskan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan Arab Saudi.
     Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan perlu diperluaskan dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti “ekopelancongan”, pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.
     Tuntasnya, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka. 

No comments:

Post a Comment