Monday 30 January 2012


PENDAPAT/ PERBINCANGAN
Pengangkutan awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah mengadakan pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar. Jelaskan langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam
Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita
    “Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
     Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
                       Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik.Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
     Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
     Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
     Kesimpulannya, pengangkutan  awam  banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.

No comments:

Post a Comment